vaccine

Bahan utama dalam vaksin adalah mikroorganisma yang dilemahkan/dimatikan, toksin yang dinyahaktifkan atau subunit protein dan konjugat yang berasal dari mikrob. Fungsi vaksin adalah untuk merangsang sistem daya tahan penyakit untuk menghasilkan antibodi terhadap penyakit tersebut.

Apakah kandungan lain dalam vaksin selain bahan utama?

Selain daripada bahan utama, sesuatu produk vaksin juga mengandungi bahan lain sama ada ditambah secara langsung atau tidak langsung. Bahan-bahan yang ditambah secara langsung adalah seperti agen pengawet, adjuvan dan agen penstabil. Bahan yang terkandung secara tidak langsung dalam produk adalah tidak ditambah secara sengaja dan jumlah kandungan selalunya surih (trace amount). Kehadirannya adalah akibat proses-proses lain semasa  pengilangan.

Kenapa perlu bahan lain dalam vaksin?

Semua bahan yang ditambah secara langsung ke dalam produk vaksin mempunyai fungsi tertentu. Agen pengawet berfungsi untuk menyahaktifkan bakteria/virus. Ini dapat memastikan produk vaksin ini tidak dicemari semasa penyimpanan dan penggunaan berbanyak kali seperti dalam vial multidos. Agen penstabil pula membantu dalam mengekalkan kestabilan dan keberkesanan vaksin. Ia juga mengelakkan komponen vaksin daripada melekat pada dinding botol. Fungsi adjuvan adalah meningkatkan keberkesanan vaksin supaya jumlah dos yang disuntik ke dalam badan adalah minima tetapi membawa kesan yang efektif.

Bahan yang ditambah secara tidak langsung merupakan bahan yang digunakan pada peringkat awal penghasilan vaksin. Jumlah bahan-bahan ini adalah sangat sedikit dalam produk vaksin siap dan jenis bahan adalah bergantung kepada jenis proses penghasilan vaksin tertentu. Contohnya adalah antibiotik, protein telur, formaldehid,  dan yis.

Contoh bahan yang terkandung dalam vaksin

–          Garam aluminium : adjuvan untuk meningkatkan keberkesanan vaksin. Contoh vaksin yang mengandungi bahan ini adalah DTaP (Diphtheria, Tetanus, acellular Pertussis)

–          Antibiotik : mencegah pertumbuhan dan kontaminasi bakteria dalam proses pengilangan vaksin

–          Egg protein (protein telur) : terkandung dalam vaksin yang dihasilkan melalui telur dan ini termasuk vaksin influenza dan demam kuning.

–          Formaldehyde (formaldehid) : digunakan untuk menyahaktifkan virus dan toksin semasa penghasilan vaksin. Bahan ini selalu dikeluarkan dari vaksin dalam proses pengilangan tetapi mungkin terdapat kandungan yang surih dalam produk siap.

–          Monosodium glutamat (MSG) : agen penstabil yang ditambah untuk membantu vaksin kekal efektif

–          Thimerosal : agen pengawet yang berunsurkan raksa untuk mencegah pertumbuhan dan kontaminasi bakteria bahaya dalam vaksin.

Adakah bahan-bahan ini selamat digunakan?

Semua bahan yang terkandung dalam produk vaksin mempunyai rekod keselamatan yang terbukti melalui program pengawasan berterusan. Walaubagaimanapun, vaksin, seperti setiap produk farmaseutikal yang lain, tiada yang 100% selamat dan efektif. Setiap individu adalah berbeza dan oleh sebab itu, mempunyai reaksi yang berbeza terhadap ubat. Sesetengah individu mungkin alah kepada sesuatu antibiotik ataupun bahan lain termasuk bahan utama dalam produk tersebut. Secara keseluruhannya, semua bahan yang terkandung dalam vaksin adalah selamat digunakan tetapi sesiapa yang mempunyai sejarah apa-apa jenis alahan perlulah memberitahu doktor anda sebelum imunisasi dilakukan.

Kontroversi thimerosal

Khabar angin tentang vaksin MMR (Measles, Mumps, Rubella) menyebabkan autisme berpunca daripada thimerosal. Pengawet berunsurkan raksa (mercury) ini menimbulkan keraguan bahawa ia boleh memudaratkan fungsi saraf, justeru membawa kepada penyakit autisme. Ethylmercury yang terkandung dalam thimerosal adalah lebih selamat berbanding dengan methylmercury yang merupakan sejenis neurotoksin dan boleh dijumpai dalam ikan dan makanan laut yg lain tercemar. Banyak penyelidikan telah membuktikan bahawa thimerosal adalah selamat digunakan. Kesan sampingan minor yang mungkin boleh dialami akibat thimerosal hanyalah kemerahan and kebengkakkan pada tapak suntikan dan mereka yang alahan terhadap thimerosal.

Kebanyakan produk vaksin pada masa kini adalah bebas daripada bahan pengawet terutamanya thimerosal. Thimerosal hanya digunakan dalam vial multidos iaitu botol suntikan yang mengandungi lebih daripada satu dos ubat. Vial jenis ini memerlukan bahan pengawet untuk mencegah kontaminasi yang mungkin boleh terjadi akibat ditembusi jarum suntikan lebih daripada sekali. Vial single-dose iaitu vial yang hanya menyimpan dos mencukupi untuk satu orang tidak memerlukan pengawet ini. Contoh vaksin yang mungkin mengandungi thimerosal adalah sesetengah vaksin Influenza. Maklumat terperinci mengenai kandungan thimerosal dalam setiap jenis vaksin boleh didapati di http://www.fda.gov/biologicsbloodvaccines/safetyavailability/vaccinesafety/ucm096228

Bagaimana saya boleh tahu kandungan lain dalam vaksin anak saya?

Setiap jenis vaksin juga mempunyai bahan-bahan tambahan yang berbeza. Ini kerana semua vaksin berpunca dari asal yang berbeza. Ini termasuk jenis vaksin sama dengan jenama berlainan. Sebagai contoh, vaksin HPV (Human Papilloma Virus) yang berjenama Gardasil mungkin mengandungi unsur-unsur yis manakala jenama Cervarix pula tidak mengandungi yis tetapi sel serangga dan protein virus kerana cara penghasilan mereka berbeza. Maklumat mengenai kandungan vaksin boleh didapati secara meluas dalam laman sesawang.

Contoh maklumat: http://www.cdc.gov/vaccines/pubs/pinkbook/downloads/appendices/B/excipient-table-2.pdf   Sekiranya masih mempunyai keraguan, anda boleh mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sebelum imunisasi dijalankan.

 

________________________________

 

written by  :

YP  Ms. Wong Yeng PooiBachelor of Pharmacy (Hons) , UKM . Pharmacist at a government hospital

 

 

Rujukan:

  1. http://www.cdc.gov/vaccines/vac-gen/additives.htm
  2. http://www.fda.gov/biologicsbloodvaccines/safetyavailability/vaccinesafety/ucm096228
  3. http://www.cdc.gov/vaccinesafety/concerns/thimerosal/thimerosal_faqs.html
  4. http://www.cdc.gov/vaccines/parents/vaccine-decision/ingredients.html
  5. http://www.fda.gov/BiologicsBloodVaccines/SafetyAvailability/VaccineSafety/ucm187810.htm
  6. http://www.cdc.gov/vaccines/pubs/pinkbook/downloads/appendices/B/excipient-table-2.pdf
  7. http://www.ncirs.edu.au/immunisation/fact-sheets/vaccine-components-fact-sheet.pdf
  8. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2376879/