Q: Saya hendak tanya mengenai gigi anak saya. Dia berumur 2 tahun. Saya pernah bertanya mengenai gigi brittle dan cara menjaganya. But I need to know more because:

Anak saya jatuh then gigi terlanggar meja. gigi hadapannya pecah. I have problem to bring her to dentist sebab dia takut dengan doctor and for sure dia tak akan buka mulut dan menangis jika berjumpa doktor.

1- Adakah gigi tersebut perlu dicabut?
2- Apa kesan terhadap gigi kekal jika gigi dicabut seawal 2 tahun
3- Ada tak cara lain untuk selamatkan gigi selain cabut gigi tersebut.
4- Anak saya sakit apabila makan.adakah gigi susu bersaraf macam gigi org dewasa.
5- Adakah gigi tu akan mati dan apakah tanda gigi mati.

 

A: Kecederaan pada mulut dan gigi susu (‘dental trauma’) kerap terjadi pada kanak-kanak berusia di antara 2-4 tahun. Pada usia ini kanak-kanak baru pandai berjalan dan belum begitu stabil semasa mereka berdiri atau berjalan. Gigi susu yang paling kerap terlibat dengan kecederaan ini ialah gigi kacip di bahagian rahang atas. Keceraan terhadap gigi susu termasuklah gigi patah (complicated or uncomplicated crown fracture), gigi tersasar daripada posisi asalnya (displacement), gigi tercabut keluar daripada soket (avulsed), gigi termasuk ke dalam rahang (intruded), patah pada bahagian akar (root fracture)

Dental Trauma Guide, 2014 (www.dentaltraumaguide.org)

Dental Trauma Guide, 2014 (www.dentaltraumaguide.org)

Kecederaan pada gigi susu berpotensi untuk menyebabkan gangguan terhadap pembentukan gigi kekal kerana pada waktu ini gigi kekal sedang terbentuk di dalam rahang kanak-kanak berkenaan. Oleh yang demikian, adalah amat digalakkan agar kanak-kanak yang menghadapi kecederaan pada bahagian mulut dan gigi susu dibawa bertemu doktor gigi untuk pemeriksaan lanjut agar rawatan yang bersesuaian dapat diberikan. Kecederaan pada gigi susu boleh menyebabkan masalah seperti gigi susu bertukar warna menjadi kekuningan, perang, kelabu atau dalam kes yang lebih teruk menjadi kehitaman.

Ia juga boleh mengakibatkan gigi susu berubah posisi daripada kedudukan asalnya (displaced), manakala gigi tercedera yang tidak dirawat akan menyebabkan masalah seperti gigi sensitif atau infeksi dan gusi bengkak. Sekiranya gigi ini tidak dirawat, kesannya mungkin dapat dilihat tidak hanya pada gigi susu, malahan juga pada gigi kekal yang sedang terbentuk di dalam rahang. Kecederaan pada gigi susu boleh menyebabkan gigi kekal tidak terbentuk dengan sempurna (contohnya hypomineralised atau hypoplasia pada struktur enamel gigi), gigi kekal menjadi bengkok (dilaceration), posisi gigi kekal berubah dan juga boleh mengakibatkan gigi kekal tidak tumbuh pada usia yang sepatutnya.

Berbalik kepada soalan Tuan/Puan,

1. Adakah gigi tersebut perlu dicabut?

Mengikut penerangan yang Tuan/Puan berikan, gigi anak anda mengalami kecederaan di mana gigi tersebut patah. Terdapat beberapa jenis gigi patah iaitu sama ada patah pada bahagian enamel sahaja atau enamel dan dentin tanpa melibatkan saraf gigi (uncomplicated crown fracture) atau kecederaan yang lebih serius di mana bahagian enamel dan dentin patah dan saraf gigi juga terdedah (complicated crown fracture).

Sebelum doktor gigi membuat keputusan sama ada gigi tersebut perlu dicabut atau tidak, pemeriksaan lengkap perlu dilakukan terlebih dahulu termasuklah mendapatkan sejarah perubatan, pergigian dan juga bagaimana kecederaan itu boleh berlaku. Seterusnya, pemeriksaan terhadap gigi dan struktur yang berkaitan dengan gigi yang tercedera seperti gusi perlu dilakukan. Pada kebisaannya, doktor gigi juga akan mengambil x-ray (radiograph) gigi yang terlibat dengan kecederaan tersebut bagi memeriksa keadaan gigi tersebut di dalam rahang dan juga bagi menganalisa gigi kekal yang sedang terbentuk di dalam rahang. Setelah diagnosis yang betul dibuat, barulah doktor gigi akan berbincang dengan ibu bapa tentang rawatan yang boleh diberikan kepada kanak-kanak tersebut.

2- Apa kesan terhadap gigi kekal jika gigi dicabut seawal 2 tahun
Gigi susu di bahagian hadapan atas atau lazimnya dipanggil gigi kacip  (central incisor atau lateral incisor) selalunya tanggal pada usia lebih kurang 7-8 tahun dan diganti dengan gigi kacip kekal. Sekiranya gigi ini dicabut terlalu awal, sudah pastilah ada kesannya terhadap ruang untuk gigi kekal tumbuh dan boleh menyebabkan gigi bertindih (dental crowding). Walau bagaimanapun, ingin ditegaskan di sini kesan kehilangan gigi depan terlalu awal tidaklah begitu serius jika dibandingkan dengan kehilangan gigi terlalu awal di bahagian gigi belakang. Tambahan pula, sekiranya gigi susu kacip itu memang sudah rosak dan boleh menyebabkan keceraan atau mengganggu pembentukan gigi kekal di dalam rahang, doktor gigi mungkin perlu mencabut gigi berkenaan setelah berbincang dengan ibu bapa kanak-kanak tersebut.

3- Ada tak cara lain untuk selamatkan gigi selain cabut gigi tersebut?

Sebagaimana yang telah saya terangkan di atas, sebelum doktor gigi membuat keputusan untuk mencabut gigi susu yang patah, pemeriksaan rapi perlu dijalankan. Sekiranya kecederaan tidak begitu serius dan hanya melibatkan patah enamel sahaja atau enamel dan dentin, rawatan tampalan menggunakan tampalan sewarna gigi contohnya composite atau compomer boleh diberikana. Namun, sekiranya kecederaan yang lebih teruk dan melibatkan saraf gigi terdedah, rawatan yang lebih kompleks seperti rawatan akar (pulp therapy) atau cabutan perlu dilakukan. Selain daripada menganalisa jenis kecederaan gigi, doctor gigi juga perlu menganalisa penerimaan kanak-kanak tersebut terhadap rawatan gigi (patient’s cooperation). Perancangan selanjutnya perlu dilakukan untuk menentukan samada rawatan boleh dilakukan secara bius lokal  (local anaesthesia), sedation atau pun secara bius am (general anaesthesia).

4- Anak saya sakit apabila makan. Adakah gigi susu bersaraf macam gigi org dewasa ?

Struktur gigi susu adalah sama seperti gigi kekal di mana ia terdiri daripada lapisan enamel, dentin dan juga pulpa (saraf) (Rujuk gambar)

Sekiranya kecederaan gigi tersebut menyebabkan pulpa (saraf gigi yang mengandungi salur darah) terdedah, ia boleh menyebabkan kanak-kanak tersebut berasa sakit terutamanya jika mereka minum air/ makanan yang sejuk atau panas atau semasa menggigit makanan. Kecederaan gigi yang melibatkan saraf, sekiranya dibiarkan tidak dirawat akan mengakibatkan masalah seperti perubahan warna gigi, gigi menjadi mati (necrotic pulp which leads to non-vital tooth) dan juga bengkak gusi yang berdekatan dengan gigi yang tercedera.

5- Adakah gigi tu akan mati dan apakah tanda gigi mati ?

Sebagaimana yang dijelaskan di atas, ada kemungkinan gigi yang tercedera mati sekiranya tidak diberikan rawatan yang sewajarnya dengan segera. Tanda-tanda gigi mati ialah perubahan warna menjadi kuning ,perang, kelabu atau kehitaman; sakit yang berpanjangan tanpa sebab yang jelas, bengkak pada gusi sekitar gigi yang tercedera dan jika dibiarkan tanpa rawatan boleh mengakibatkan gigi berkenaan menjadi goyang.

Saya ingin menyarankan agar Tuan/Puan segera membawa anak Tuan/Puan berjumpa doktor gigi agar rawatan yang sewajarnya dapat diberikan kepada anak anda kerana kesan kecederaan ini tidak hanya melibatkan gigi susu, tapi juga berisiko menyebabkan masalah pada gigi kekal yang sedang terbentuk di dalam rahang.

( answered by Dr Noren Nor Hasmun )

____________________________________

noren We are pleased to welcome another prized addition to the growing team of DoktorBudak, she is none other than Dr Noren Nor Hasmun who is a paediatric dentist and senior lecturer at UiTM Shah Alam. She graduated from UKM in 2003 and obtained her master degree (DClinDent in Paediatric Dentistry) from University of Otago, New Zealand in 2011. She was appointed as Head of Centre of Studies for Paediatric Dentistry & Orthodontics from 2011-2013. Her research areas are dental anomalies (especially molar incisor hypomineralisation) and dental caries and its risk factors.