Tags

, ,

source: intranet.tdmu.edu.ua

source: intranet.tdmu.edu.ua

Q: Salam doktor,

Anak saya berumur 10 bulan. Saya perasan di kepalanya ada dua benjolan (lumps). Satu di belakang telinga, hampir dengan leher, dan satu lagi di tengah-tengah kepala, selari dengan telinga. Kadang-kadangan benjolannya ketara, kadang-kadang macam mengecut.

Saya ada terbaca mungkin ia disebabkan kelenjar (lymph nodes) membengkak. Saya nak minta pendapat doktor, perlukah saya bawa anak saya ke hospital untuk pemeriksaan dengan segera? Atau ini adalah normal bagi bayi. Terima kasih. (Mama Imran)

A: Wa’alaikumusalam wrt wbt

Terima kasih di atas soalan tersebut. Daripada apa yang puan ceritakan berkemungkinan anak puan mengalami pembengkakan kelenjar atau bahasa perubatannya ‘lymphadenopathy’.

Terdapat beberapa gugusan kelenjar yang boleh kita rasa di bawah kulit. Gugusan tersebut ada di leher, belakang kepala, ketiak dan di celah kelangkang. Gugusan kelenjar ini bersambung ke suatu sistem badan yang dinamakan sistem limfa. Pada masa normal kelenjar tersebut tidak dapat dirasa. Namun oleh sebab-sebab tertentu kelenjar tersebut boleh membengkak dan menjadi besar. Pembengkakan ini boleh menjadi sakit atau tidak, bergantung kepada sebabnya.

Tugas kelenjar-kelenjar ini terutamanya ialah sebagai ‘penapis’ untuk menapis bakteria atau virus yang boleh menyebabkan jangkitan kuman, terutamanya di kawasan dan organ yang berhampiran dengan gugusan kelenjar tersebut. Sebagai contoh, jika anak puan mengalami jangkitan kuman di telinga dan tekak, kelenjar di bahagian leher atau belakang kepala akan membengkak.

Selain daripada jangkitan kuman, terdapat lagi beberapa sebab kenapa kelenjar tersebut boleh membengkak.  Sebab-sebab tersebut adalah Penyakit Kawasaki, Penyakit ‘infectious mononucleosis’ , dan lymphoma – sejenis barah kelenjar.

Pada kebanyakan masa,  kelenjar- kelenjar limfa ini akan membesar semasa kanak-kanak mengalami jangkitan kuman dan demam. Apabila mereka sembuh dari demam dan jangkitan kuman tersebut, kelenjar limfa itu akan kembali mengecut ke saiz normal. Proses in akan berlaku dalam 1- 2 minggu. Namun, jika pembengkakan berterusan atau semakin membesar, siasatan lanjut perlu dijalankan untuk memastikan sebab mengapa kelenjar tersebut berkeadaan demikian.

Oleh yang demikian puan tidak perlu terlalu risau tentang pembengkakan kelenjar limfa ini. Puan boleh memerhatikan secara teliti dan memastikan bahawa pembengakan kelenjar ini surut dalam 2 minggu selepas anak puan sembuh dari demam. Namun, jika kelenjar ini masih lagi bengkak, atau semakin membesar puan perlu membawa anak puan untuk berjumpa doktor.

Ini untuk memastikan doktor dapat membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan punca pembengkakan kelenjar limfa tersebut dan sama ada ujian-ujian tertentu perlu dilakukan atau tidak.

(answered by Dr Aznor Fadly)

Advertisements