Tags

, , ,

rota

Adakah vaksin (Rotavirus) mengandungi benda yang diharamkan seperti enzim tripsin?

JAKIM bersama KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) telah bersama mengeluarkan kenyataan bersama berkenaan penggunaan vaksin di Malaysia. Sedikit sebanyak keputusan ini telah melegakan ramai ibubapa yang tidak mempunyai informasi yang tepat. Kita semua ingin vaksin yang dihasilkan adalah halal. JAKIM telah memastikan dan memantau keadaan pemprosesan vaksin dan bersetuju mengakui bahawa status vaksin di Malaysia adalah halal(harus). Ini mungkin menggunakan pendekatan dharurat. Setahu saya, hanya beberapa jenis vaksin sahaja seperti Rotateq yang difatwa tidak halal. Kita tidak boleh ‘generalize’ semua vaksin adalah haram. Saya agak hairan apabila sesetengah pihak masih tidak percaya badan JAKIM walaupun tugas JAKIM menyelaras soal halal haram di Malaysia. KKM pula telah memastikan segala proses pembikinan dan penghasilan vaksin mengikut piawai yang ditetapkan. Ini melalui proses yang lama seperti penyelidikan klinikal ke atas binatang dan manusia sebelum dipercayai dan terbukti berkesan.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata, “Adapun najis, maka hukumnya dikembalikan kepada asalnya, iaitu benda najis yang kotor, jika telah berubah hingga menjadi baik, maka dia seperti lainnya yang berasal dari benda yang halal. Seperti misalnya ada darah atau bangkai babi yang jatuh ke air tasik bergaram, lalu ianya menjadi garam yang halal sebagaimana umumnya garam.”

Dalam hal ini, ulamak memiliki dua pandangan.

Pertama; Tidak suci. Seperti pendapat Asy-Syafie, ini merupakan salah satu pendapat dalam Mazhab Malik dan Ahmad.

Adapun Az Zahiri dan lainnya, mereka berpendapat bahwa hal tersebut suci. Pendapat inilah yang benar kerana apabila benda (yang telah berubah nama dan sifatnya) tersebut tidak terkena nas pengharaman, baik dari segi lafaz atau makna maka ia bukanlah benda haram. Maka dengan ini tidak ada alasan untuk mengharamkannya. Justeru itu, ia lebih dekat kepada nas yang menghalalkannya, kerana perkara thayib (baik), dari segi makna juga telah disepakati kehalalannya. Maka berdasarkan nas dan qiyas memberi makna bahawa benda tersebut halal.” Majmu Fatawa, 21/70-71.

Isu ini (istihalah – sumber haram yang diproses bertukar nama dan kesuciannya), mengikut pendapat Ibnu Taymiyyah, Ibnu Qayyim, Maliki, Al Arabi, Hanafi, dimana segala perubahan benda bernajis/ haram kepada bentuk fizikal atau kimia yang lain melalui proses sintetik adalah diterima dan dibolehkan(mubah). Ini adalah kerana perubahan itu berlaku dan berubah dari sifat asalnya. Aplikasi ini digunakan di negara barat dalam pelbagai aspek seperti penggunaan ‘preservatives’ dan difatwakan oleh European Council for Fatwa and Research.

Dalam menghadapi pendapat yang berbeza iaitu, pendapat harus bagi sesetengah ulamak dan haram bagi sesetengah, rujukan sumber feqah mesti bergantung pada sumber utama iaitu quran, sunnah, ijmak, qiyas, atau pada maslahah, uruf, al-istihsan, al istishab, dharurat dan al istibrak. Perbezaan feqah bukan bermaksud kita mencari siapa yang benar tetapi ijtihad begini membolehkan Islam di amal dengan mudah dan relevan sepanjang masa tidak kira tempat atau batasan masa. Kita bukan perlu melihat perkara ini sudut ilmu feqah semata mata tetapi pandangan jumhur ulamak yang lebih rojih dan kuat, dengan diberi petunjuk oleh Allah Taala.

Hukum harus (maka ianya adalah halal dan dibolehkan) adalah berdasarkan muzakarah fatwa kebangsaan dan hasilnya kerajaan memberi arahan program vaksinasi untuk berjalan di seluruh negara. Sebagai rakyat, arahan ini tidak bercanggah dengan Islam serta arahan berupa program pencegahan untuk kesihatan dan kemaslahatan umum. Jadi ianya tidak perlu ditentang atau dihukum. Enzim binatang yang digunakan merupakan ‘catalyst” yang melalui proses ultrafiltrasi  dan pencairan yang tidak bercampur dengan bahan ketika produk akhir dihasilkan. Vaksin ini telah melalui proses saringan, pencucian dan pembersihan secara total dan ianya harus untuk digunakan.

islam vaccine 2  islam vaccine

 

Adakah vaksin mempunyai kesan sampingan atau adverse effects?

Ya, memang benar vaksin ada kesan sampingan seperti masalah alahan atau neurologi. Jika kesan begini berlaku maka ia perlu dilaporkan segera kepada pihak farmakovigilan. Jika benar kesan sampingan vaksin yang tinggi dan berlaku mortaliti atau morbiditi secara statistik, sewajarnya vaksin tidak diberikan atau diharamkan pada populasi. Ini tidak berlaku di Malaysia atau di dunia sekalipun. Konsep qada’ qadar perlu disemai kepada masyarakat Islam amnya – iaitu mempercayai kita perlu berusaha untuk pencegahan penyakit secara spesifik dan Allah menentukan kejayaannya. Doktor biasanya mempunyai indikasi tertentu sama ada vaksin boleh diberi atau di hentikan. Pesakit perlu letakkan konsep tawakkal pada Allah SWT dalam segala perbuatan harian.  Kita perlu timbang kebaikan dan keburukan vaksin. Jika kebaikan melebihi keburukan, usaha murni begini adalah usaha untuk memasti anak anak dan generasi kita selamat. Segala kesan yang berlaku (sama ada kesan dari vaksin seperti allergi/alahan atau vaksin tidak dapat memberi pencegahan atau kesan penyakit) adalah daripada Allah SWT dan kita perlu menjurus segala amal dan pergantungan kita padaNya. Kita hanya berusaha dan Allah menentukan segala perancangan.

 

Konklusi kepada vaksin

Islam adalah agama yang praktikal dan mudah. Jika kita meletakkan hukum haram ke atas benda yang harus adalah seperti kita meletakkan umpama air yang boleh diminum di anggap sebagai arak. Dalam pada itu jika kita berdepan dengan percanggahan hukum, kita mesti melihat kelebihan dari aspek maqasid syariah, uruf masyarakat dan maslahat masyarakat serta panduan praktikal daripada ilmuan Islam dan pakar pakar perubatan. Sebagai ibubapa, anda ada hak untuk memilih sama ada ingin memberi vaksin atau tidak kepada anak-anak kerana keputusan ibubapa mencermin usaha murni untuk mencegah anak anak dan generasi akan datang daripada penyakit berjangkit.

Kita tidak perlu bergantung pada Doktor Google kerana ianya mungkin tidak tepat dan mempunyai fakta yang silap, tetapi perlu berbincang dengan orang yang pakar dalam perawatan kanak kanak untuk keputusan yang tepat selaras dengan saranan Ar Rasul SAW. Jika kita mengambil ijtihad yang berbeza, saya berharap kita perlu hormat kepada keputusan feqah yang berbeza jika kita sama sama mementingkan keselamatan anak khususnya dan masyarakat amnya.

Perbezaan feqah tidak wajar menjadi perpecahan dan pertelagahan ummah kerana ianya hanya merupakan cabang dalam Islam. Ruh begini diambil oleh Imam Syafie dimana beliau menghormati ijtihad imam imam yang lain. Penyebaran berita yang negatif adalah salah, kerana kerajaan dan pihak berkuasa telah memberi kata sepakat yang positif dalam isu vaksin, untuk meleraikan kekusutan dan kebimbangan rakyat.

 

Sila klik di sini untuk bahagian 1 

Sila klik di sini untuk bahagian 2

Rujukan:

  1. http://www.e-fatwa.gov.my/sites/default/files/kenyataan_akhbar_bersama_kkm_-_jakim_pejabat_kpk_0.pdf
  2. http://www.ipedr.com/vol17/32-CHHSS%202011-H10020.pdf
  3. http://jknkl.moh.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=68de6add-d71c-4eff-8fb0-883c7f9554c6&groupId=10138
  4. http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0264410X13001898
  5. http://www.ncirs.edu.au/immunisation/fact-sheets/vaccine-components-fact-sheet.pdf
  6. http://www.immunize.org/concerns/porcine.pdf

(written by Dr Fahisham Taib)

Advertisements