Tags

, ,

influenza-vaccine

1) Apa itu vaksin?

Vaksin – bahan yang dihasilkan dari mikroorganisma yang diberi pada kanak kanak atau orang dewasa untuk merangsangkan imuniti dan mengelakkan penyakit berjangkit.

Imunisasi adalah proses meningkatkan ketahanan badan terhadap penyakit berjangkit samada secara pasif atau aktif. Imunisasi pasif berlaku apabila manusia disuntikkan dengan antibodi yang tersedia untuk menghalang penyakit-penyakit tertentu. Imunisasi aktif pula berlaku apabila badan manusia dirangsang untuk menghasilkan antibodi dengan pendedahan kepada vaksin atau agen penyakit berjangkit. Dari segi Islam, vaksin adalah penting kerana Islam amat menitik beratkan tentang kesihatan dalam segenap aspek kehidupan. Menjaga nyawa adalah agenda yang kedua penting dalam Islam selepas menjaga akidah.

Justeru itu, vaksin yang sudah diketahui oleh masyarakat untuk menjaga kesihatan merupakan perkara yang dituntut oleh Islam.Perubahan masa dan pengetahuan berkenaan perubatan moden menjadikan ilmu immunologi ini penting untuk diketahui dan dikaji untuk maslahat ummah.

 

2) Adakah vaksin dibenarkan?

Kebanyakan fatwa seperti fatwa Bin Baz (http://www.binbaz.org.sa/mat/238), Syeikh Muhammad Shalih ( http://www.islam-qa.com/ar/ref/159845/D8AAD8B7D8B9D98AD985), Majlis Fatwa Eropah dan Penyelidikan ( http://www.islamfeqh.com/Forums.aspx?g=posts&t=203) , Majlis Ulamak Indonesia, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia telah membenar dan mengharuskan penggunaan vaksin dalam kalangan orang Islam. Terdapat juga ulamak yang menolak hal ini seperti di Kano Nigeria; natijahnya kes Polio di Kano meningkat secara mendadak (http://www.irinnews.org/report/50495/nigeria-who-investigates-suspected-polio-outbreak-in-kano).

Jelas disini ramai ulamak bersependapat bahawa vaksin dibenarkan untuk kebaikan sejagat.  Berdasarkan fatwa dari segenap pelusuk dunia, kebanyakkan ulama berpandangan bahawa vaksinisasi adalah satu keperluan untuk menjaga maslahat umat Islam. Penentangan terhadap isu vaksin mestilah berasaskan kepada dalil Al-Quran dan As-Sunnah. Namun apabila dilihat dari semua dalil secara umumnya menjuruskan bahawa menjaga nyawa adalah perkara yang penting dalam Islam berdasarkan kepada asas Maqasid Syariah. Justeru asas penolakan vaksin bukanlah terbit atau muncul dari kaedah atau asas Maqasid Syariah.

Dari sudut negara contohnya, Saudi Arabia mengenakan vaksin meningitis supaya jemaah haji tidak mendapat bakteria meningitis yang membunuh jemaah saban tahun. Dari sudut masyarakat, vaksin dilihat memberi perlindungan bukan sahaja kepada anak anak tetapi kepada orang dewasa juga. Contoh virus rubella yang boleh menyebabkan masalah ‘congenital rubella syndrome’ kepada bayi yang lahir, dengan suntikan vaksin kepada orang dewasa ianya sekaligus mencegah ‘carrier state’ serta perpindahan virus kepada ibu mengandung.

Dari sudut individu, vaksin berfungsi melawan penyakit berjangkit supaya generasi yang ada lebih kuat berdaya tahan melawan penyakit berjangkit serta tiada kesan sampingan(morbiditi) akibat wabak tersebut. Natijah adanya vaksin ialah pencegahan penyakit berjangkit (wabak) daripada merebak didalam komuniti walaupun ianya tidak mencecah pencegahan secara 100%.

 

3)   Apakah hukum mengambil vaksin?

Rata-rata majlis fatwa mengatakan ianya harus atas alasan kepentingan vaksin dan konsep pencegahan.

Vaksin boleh diklasifikasi sebagai ubat yang digunakan untuk meningkatkan kekebalan badan manusia. Ini sesuai dengan hadis “Tidaklah Allah menurunkan penyakit kecuali Allah turunkan ubat untuknya.” (HR A Hurairah). Pengambilan vaksin termasuk dalam isu penjagaan yang disyariatkan oleh Islam. Vaksinasi ini seumpama persediaan untuk menghadapi peperangan dengan musuh. Islam menyuruh untuk umat Islam bersedia dengan secukupnya dalam menghadapi musuh Islam. Persedian tersebut mestilah apa yang terdaya diusahakan seperti alatan perang yang cukup dan tubuh badan yang sihat.

Justeru vaksinisasi juga mempunyai kotanasi yang sama dengan isu menghadapi peperangan terhadap musuh Islam. Ia juga boleh diambil dalil dari sebuah hadis Nabi Muhammad sallahualaihiwassalam yang bermaksud “Sesiapa yang mengambil tujuh biji tamar ajwah , tidak akan terkena racun dan sihir pada hari tersebut”. Hadis ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa perlu mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengelak jangkitan dan serangan penyakit sebelum dari berlaku serangan tersebut.

Ibnu al-Arabi menjelaskan dalam perbincangan hadis ini, beliau mengatakan bahawa seseorang yang dapat menjangkakan simptom-simptom penyakit, dan bimbang dijangkiti penyakit tersebut, sesungguhnya diharuskan kepadanya untuk menghilangkan simptom tersebut dengan melakukan rawatan, sesungguhnya menghilangkan sebab akan menghilangkan kesan-kesannya.“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dalam kebinasaan” – Al Baqarah: 195. Di dalam Quran, ada menekankan segala perbuatan kita mesti tidak kearah penyebab kepada kebinasaan. Jadi adanya vaksin adalah usaha kita mengelakkan kebinasaan atau penyakit.

Ini termasuk memastikan produk vaksin itu halal, melalui proses saringan, ujian, penyelidikan yang ketat, selamat kepada pengguna sebelum sampai ke peringkat umum. Ini secara langsung perlu dilihat dari struktur maqasid syariah (matlamat yang ingin dicapai demi kepentingan manusia) iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.  Pengambilan vaksin adalah bertepatan dengan tujuan maqasid syariah untuk menjaga survival generasi masa kini dan akan datang.

Adapun begitu terdapat juga minoriti ulamak, seperti di Kano Nigeria, yang mengharamkan vaksin kerana bimbang ada atau terdapat sumber haram dalam produks tersebut. Pendapat ini merupakan pendapat yang minoriti.  Permasalahan ini akibat keraguan tentang kandungan di dalam vaksin seperti thimerisol, lemak binatang dan berbagai bahan yang dikatakan merbahaya pada tubuh badan manusia. Aluminium digunakan sebagai adjuvant untuk memastikan keberkenasan imuniti. Setelah 60 tahun, aluminium tiada bukti mengaitkan aluminium dengan penyakit atau kesan sampingan lain. Adapun penggunaan stabilizer seperti glycine (amino acid), monosodium glutamate(seperti dalam makanan harian) dan kadang kadang albumin binatang digunakan, tetapi kandungan ini dibahas dengan lanjut oleh fatwa fatwa dari negara Islam.

Penggunaan preservatives seperti phenoxyethanol adalah untuk mengelakkan pembiakan virus atau bakteria di dalam sesuatu vaksin. Terdapat penggunaan antibiotic seperti neomycin atau gentamicin dalam sesetengah vaksin tertentu. Ini bertujuan mengelakkan kontaminasi bakteria.

Kita juga perlu merujuk pada pakar-pakar yang merawat kanak kanak tersebut dan melihat kesan kepada kanak kanak. Contoh mudah adalah , jika kita bertanya pada doktor dan 90% daripada mereka mengatakan kebaikan vaksin, adakah kita perlu mengikuti yang 10% yang menolak atas alasan kandungan yang dicemari atau dirasakan haram. Allah menegaskan dalam Al-Quran surah an-Nahl ayat 43 yang bermaksud” bertanyalah kepada yang pakar dalam bidang tersebut sekiranya kamu tidak mengetahui”Begitu juga jika ada berita yang negatif berlaku, adalah wajar perkara ini diselidiki dahulu. Kita tidak boleh terus mengambil konklusi tanpa memahami isu sebenar.

Kita juga perlu lihat apa kesan jangka pendek dan jangka panjang pada masyarakat secara non-bias, jika vaksin tidak dipakai, bergantung pada bukti seperti statistik penyakit dan kesan penyakit kepada negara lain. Kita tidak perlu menghasut seseorang kerana keputusan yang diambil wajar difikirkan atas nama kebaikan dan keselesaan umum; bukan menunding kepada sesetengah pihak kerana mengambil pilihan pandangan fiqh yang berbeza.

 

Soalan yang akan dijawab dalam bahagian 2 (akan datang)

  • Adakah vaksin merupakan salah satu teori konspirasi barat?
  • Adakah vaksin penyebab penyakit memudaratkan seperti autism?

Soalan yang akan dijawab dalam bahagian 3 (akan datang)

  • Adakah vaksin (Rotavirus) mengandungi benda yang diharamkan seperti enzim tripsin?
  • Adakah vaksin mempunyai kesan sampingan atau adverse effects?

 

Rujukan:

  1. http://www.e-fatwa.gov.my/sites/default/files/kenyataan_akhbar_bersama_kkm_-_jakim_pejabat_kpk_0.pdf
  2. http://www.ipedr.com/vol17/32-CHHSS%202011-H10020.pdf
  3. http://jknkl.moh.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=68de6add-d71c-4eff-8fb0-883c7f9554c6&groupId=10138
  4. http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0264410X13001898
  5. http://www.ncirs.edu.au/immunisation/fact-sheets/vaccine-components-fact-sheet.pdf
  6. http://www.immunize.org/concerns/porcine.pdf

 

( written by Dr Fahisham Taib )

 

 

Advertisements