Tags

, ,

Q:  Hi Doc, saya ingin bertanya, baru-baru ini anak saya berumur 1 tahun 11 bulan berdarah hidung. Adakah ini normal? Hanya sebelah hidung berdarah dan setelah dilap, darahnya berhenti. (Sya)

A: Hi Sya, terima kasih atas soalan anda. Hidung berdarah kadangkala menakutkan, tetapi masalah ini memang sering dilihat di kalangan kanak-kanak, biasanya tidak serius dan mudah dirawat.

Sebab utama perdarahan hidung dalam kanak-kanak adalah tabiat mencungkil hidung!! Ini lebih kerap berlaku apabila kanak-kanak berada dalam persekitaran yang kering (low humidity). Udara kering boleh menyebabkan  rembesan pada permukaan dalam hidung menjadi kering dan membentuk kerak (crusting of secretions). Kerak ini menyebabkan kanak-kanak rasa tidak selesa, dan cuba mengeluarkannya dengan menghembus nafas dengan terlalu kuat atau mencungkil hidung dengan jari. Ini menyebabkan kecederaan pada salur-salur darah di dalam hidung, dan perdarahan berlaku.

Selepas perdarahan berhenti, ia meninggalkan parut di dalam hidung. Parut ini menyebabkan ketidakselesaan, dan kanak-kanak terus mencungkil hidung, dan perdarahan berlaku lagi! Kitaran ini akan berulang sehinggalah kanak-kanak menyedari bahawa perbuatan mencungkil hidung inilah yang menyebabkan perdarahan, dan menghentikan tabiat tersebut.

Perdarahan hidung biasanya berlaku di bahagian hadapan hidung, di mana terdapat banyak salur darah yang rapuh dan berdekatan dengan permukaan kulit. Kawasan ini dipanggil ‘Little’s area’.

Apakah sebab-sebab perdarahan hidung di kalangan kanak-kanak?

Selain mencungkil hidung, perdarahan hidung juga boleh disebabkan oleh kecederaan pada muka atau kepala, bendasing dalam hidung, dan jarang-jarang sekali ketumbuhan dalam hidung, tekanan darah tinggi, atau masalah penggumpalan darah. Perdarahan hidung lebih kerap berlaku sekiranya kanak-kanak mengalami resdung (allergic rhinitis) atau selesema.

Kadang-kadang, kanak-kanak kecil memasukkan makanan atau alat mainan ke dalam hidung mereka, seccara tidak sengaja. Sekiranya perdarahan hanya berlaku di sebelah hidung sahaja, dan terdapat hingus yang berbau busuk, ada kemungkinan terdapat bendasing, seperti makanan atau alat mainan, di dalam hidung. Sekiranya perdarahan berterusan, kanak-kanak perlulah diperiksa oleh doktor, yang boleh mengesan dan mengeluarkan bendasing tersebut.

Apakah yang boleh kita buat untuk mengelakkan perdarahan hidung?

Langkah-langkah untuk mengelakkan perdarahan hidung termasuklah memastikan kuku anak kita sentiasa pendek, bagi mengelakkan kecederaan sekiranya anak mencungkil hidung dengan jari. Kita juga boleh mendidik anak kita supaya tidak mencungkil hidung dengan jari, dan tidak meniup hidung dengan terlalu kuat!

Kadangkala, doktor mengesyorkan penggunaan semburan air garam di dalam hidung (normal saline nasal spray), untuk melembapkan kulit di dalam hidung, dan mengelakkan pembentukan kerak di dalam hidung. Semburan air garam ini juga dapat meningkatkan keselesaan kanak-kanak selepas berlakunya perdarahan hidung, dan mengurangkan keinginan untuk mencungkil hidung, serta mengelakkan kejadian perdarahan semula.   Penggunaan ubat sapu (ointments) dalam hidung tidak digalakkan, kerana mungkin menyebabkan kecederaan semasa disapu di dalam hidung.

Kita juga boleh mengelakkan kecederaan pada muka dan kepala, dengan memastikan anak kita sentiasa memakai peralatan keselamatan yang sesuai, seperti topi keledar, apabila menunggang basikal atau mengambil bahagian dalam aktiviti sukan yang lasak.

Apakah yang harus kita buat sekiranya anak mengalami perdarahan hidung?

•Galakkan anak untuk meniup hidung dengan lembut, untuk mengeluarkan semua darah beku.

•Kemudian, dudukkan anak dengan menyandar ke depan, dan tekan bahagian hadapan hidung  (bahagian yang lembut, bukan tulang hidung) dengan mengunakan ibu jari dan jari telunjuk selama 10 minit. Anak perlulah bernafas dengan menggunakan mulut.

Nose-Bleed-Step-2

•Tuala sejuk atau kain yang berisi ais batu boleh diletakkan pada dahi dan bahagian atas hidung. Ini akan mengecutkan salur-salur darah di hidung, dan menghentikan perdarahan dengan lebih cepat.

•Sekiranya perdarahan tidak berhenti, bawa anak untuk berjumpa dengan doktor. Anak mungkin memerlukan rawatan lain, seperti  ‘pek hidung’ (nasal pack). Doktor akan memasukkan pita atau bahan khas ke dalam hidung untuk menghentikan perdarahan. Sekiranya perdarahan masih berterusan, kanak-kanak mungkin perlu masuk hospital untuk rawatan lanjut.

•Bawa anak ke hospital dengan segera jika anak berasa pening (giddy), nampak pucat, atau terdapat perdarahan yang banyak dan berterusan.

Bilakah harus kita bawa anak untuk berjumpa dengan doktor?

Anak perlu dibawa untuk berjumpa dengan doktor jika:

•Telah mula mengambil suatu ubat baru, sebelum berlaku perdarahan hidung. Ubat-ubat tertentu mempunyai kesan sampingan mengganggu pembekuan darah, dan meningkatkan risiko perdarahan.

•Kerap mengalami perdarahan hidung. Doktor perlu memeriksa anak, untuk memastikan tiada  masalah berbahaya, seperti ketumbuhan dalam hidung. Namun demikian, kanser hidung SANGAT JARANG ditemui di kalangan kanak-kanak.

•Terdapat juga perdarahan di bahagian lain, yang luar biasa, seperti gusi, perdarahan lambat berhenti dari luka-luka kecil, dan sebagainya.

•Anak  mudah mendapat lebam-lebam di seluruh badan (easy bruising). Ini mungkin menandakan masalah penggumpalan atau pembekuan darah.

•Ada kemungkinan bahawa anak telah memasukkan sesuatu ke dalam hidungnya. Doktor perlu memeriksa dan mengeluarkan bendasing dari hidung dengan segera. Jika tidak dikeluarkan, bendasing tersebut boleh menyebabkan jangkitan kuman, masalah pernafasan, perdarahan hidung berterusan dan hingus yang berbau.

nosebleed

( answered by Dr Pravin Vasanthan )

Advertisements