Tags

, ,

Voyelles_cropped_

Q:  Salam, saya guru sekolah rendah di kawasan luar bandar. Tahun ni seorang murid saya menghadapi masalah pertuturan iaitu sengau. Menurut ibu murid, murid lahir normal sehingga umur 5 tahun. Murid tersebut mempunyai masalah tonsil dan dibedah. Setelah itu murid tersebut mengalami trauma di mana dia enggan bertutur selama hampir setahun. Hasil speech therapy bersama doktor hospital, dia mula bertutur. Dia tidak pernah masuk tadika atau pra-sekolah, namun murid agak cerdas dan aktif dalam kelas. Sebagai guru, bukan sahaja butir-butir percakapan murid menjadi kebimbangan, tetapi dari segi psikologi murid. Setiap kali murid cuba menjawab soalan guru, kelas akan terberhenti seketika, dan disusuli dengan ketawa rakan-rakan. Boleh bantu saya kendalikan murid dan sekitar? Terima kasih.

A:  Terima kasih atas soalan anda. Murid ini amat bertuah kerana mempunyai guru yang prihatin seperti anda.

Bunyi pertuturan boleh dibahagikan kepada bunyi oral dan bunyi nasal. Bunyi nasal adalah bunyi yang dihasilkan oleh udara yang keluar melalui rongga hidung dan terdiri daripada bunyi ‘m’, ‘n’, ‘ng’ and ‘ny dalam Bahasa Malaysia’. Semua bunyi lain adalah bunyi oral, di mana bunyi dihasilkan oleh udara yang keluar melalui mulut. Sekiranya, bunyi oral seperti ‘b’, ‘d’ dan ‘g’ dihasilkan dengan udara keluar melalui rongga hidung, maka bunyi tersebut akan kedengaran seakan bunyi ‘m’, ‘n’ dan ‘ng’. Bunyi inilah yang disifatkan sebagai bunyi sengau.

Bagaimanakah keadaan ini boleh berlaku? Kita perlu lihat kepada anatomi terlebih dahulu di bahagian saluran mulut dan hidung.

Injap velopharyngeal terdiri daripada velum (lelangit lembut) dan pharyngeal walls.

sengau

Semasa kita bernafas, velum adalah dalam keadaan rehat di belakang lidah untuk membolehkan udara bergerak melalui rongga hidung ke saluran pernafasan.

sengau2

 

Semasa menghasilkan bunyi oral dalam pertuturan, velum dan pharyngeal walls akan bergerak untuk menutup saluran hidung supaya udara dapat keluar melalui rongga mulut.

Masalah sengau boleh disebabkan oleh beberapa faktor:

  1. Velopharyngeal insufficiency (VPI)

sengau3

 

VPI adalah disebabkan oleh ketidaknormalan pada struktur anatomi, seperti velum yang pendek selepas pembedahan klef lelangit dan klef  submucous (di bawah kulit) . Velum tidak dapat menutup saluran hidung semasa penghasilan bunyi pertuturan menyebabkan suara menjadi sengau.

sengau4

 

VPI juga boleh berlaku selepas pembedahan adenoid (yang biasanya dijalankan bersama pembedahan tonsil). Ini adalah kerana adenoid berada di kawasan penutupan injap velopharyngeal. Dalam sesetengah kanak-kanak, adenoid berfungsi dalam membantu penutupan injap ini.

2. Velopharyngeal Incompetence

sengau5

 

Velopharyngeal incompetence disebabkan  oleh pergerakan struktur velopharyngeal  yang lemah. Keadaan ini biasanya berlaku disebabkan oleh kecederaan atau kecelaruan pada otak atau cranial nerves seperti cerebral palsy dan traumatic brain injury.

3. Velopharyngeal Mislearning

Velopharyngeal mislearning adalah keadaan di mana kanak-kanak menghasilkan bunyi di pharynx (rongga kerongkong) dan bukannya di mulut.  Ini menyebabkan injap velopharyngeal terbuka dan udara akan keluar melalui saluran hidung dalam penghasilan bunyi.

Apa perlu saya buat ?

Dalam kes murid ini, besar kemungkinan bahawa pertuturannya yang sengau mungkin terjadi selepas pembedahan adenoid. Namun demikian, perlu diketahui bahawa pertuturan yang sengau jarang berlaku. Keadaan ini mungkin berlaku selama 4-6 minggu selepas pembedahan tetapi biasanya tidak berkekalan. Untuk kes di mana pertuturan sengau berlanjutan, kanak-kanak tersebut akan memerlukan speech therapy. Dalam sesetengah kes, pembedahan lain mungkin diperlukan. Komplikasi ini biasanya berlaku dalam kanak-kanak yang mempunyai abnormality dalam lelangit lembut dan berlaku dalam 1 daripada 3000 pembedahan adenoid. Pertuturan sengau selepas pembedahan tonsil sahaja adalah sangat jarang sekali.

Murid ini perlu teruskan speech therapy dan juga berjumpa dengan Pakar ENT (Telinga, Hidung & Mulut) sekiranya belum berbuat demikian. Pakar ENT boleh membantu dalam pemeriksaan punca pertuturan sengau.

____________________________________

sengau6

” Setiap kali murid cuba menjawab soalan guru, kelas akan terberhenti seketika, dan disusuli dengan ketawa rakan-rakan. Boleh bantu saya kendalikan murid dan sekitar? “

  • Lantik murid berkenaan memegang satu jawatan penting di sekolah atau kelas untuk menambahkan harga diri self-esteem’. 
  • Sekiranya murid ini diketawakan rakan-rakan, cikgu boleh hentikan tawa mereka & mohon mereka meminta maaf kepada murid yang mempunyai masalah pertuturan tersebut.
  • Cikgu boleh berbincang dengan seluruh kelas mengenai apa agaknya perasaan murid yang diketawakan. Cikgu boleh menggunakan peluang ini untuk berbincang dengan kelas mengenai menghormati perasaan orang lain, menghargai seseorang sebagai individu.
  • Cikgu juga boleh gunakan peluang ini sebagai kempen anti-buli.  Beri semua murid di kelas assignment untuk membuat lakunan ‘role-play’ sebagai mereka yang mempunyai kekurangan.

 

( Soalan daripada guru prihatin ini dijawab oleh Puan Yong Ennie ( speech therapist ) dan Dr Norharlina Bahar ( Pakar Psikiatri Kanak-kanak )

______________________________________

Rujukan:

http://www.cincinnatichildrens.org/health/v/velopharyngeal/
http://www.asha.org/Publications/leader/2006/060207/060207c/
http://www.speechpathology.com/ask-the-experts/velopharyngeal-insufficiency-after-tonsillectomy-944
http://www.entusa.com/tonsillectomy_complications.htm

Illustrations from: Kummer AW. (2014). Cleft Palate and Craniofacial Anomalies: Effects on Speech and Resonance, 3rd Edition. Clifton Park, NY: Delmar Cengage.