Tags

, , , ,

Q: Hi , bayi saya berumur 45 hari mengalami simptom ‘Reflux’ ( Gastroesophageal reflux disease – GORD). Batuk semasa menyusu, menangis bila bangun tidur dan tidak selesa selepas menyusu. Saya akan tegakkan badan bayi untuk sendawakan tetapi selepas sendawa pun bayi masih akan muntahkan fresh milk atau susu lama. Selepas muntahkan susu baru nampak dia selesa. Berat badan bayi meningkat, berak dan kencing pun tiada masalah. Bagaimana untuk merawat masalah ‘reflux’ ini? Ada ubat yang boleh bayi saya ambil? Apa yang saya boleh lakukan untuk buat bayi selesa.
Terima kasih. (Kartika Karim)

A:  Hi Pn Kartika, terima kasih kerana bertanya!

Mari kita fokus tentang masalah GORD (GastroOesophageal Reflux Disease);

Kebiasaanya, masalah susu yang diminum dan diluah semula (posseting /spitting up / jeluak / reflux) ini bukan masalah serius, bersifat sementara dan akan pulih sendiri dengan masa. Ini disebabkan oleh otot esophagus yang sepatutnya berfungsi sebagai “pintu” untuk menghalang kandungan isi perut dari “naik ke atas” semula, belum matang dan berfungsi sepenuhnya. Hampir 50 – 60% bayi berusia lingkungan 3 bulan akan mengalami gejala ini, dan biasanya akan hilang dalam usia 1 – 2 tahun, tanpa memberi kesan besar terhadap kesihatan bayi tersebut (bayi ini akan terus membesar secara normal dan mempunyai tahap tumbesaran yang sihat).

Namun begitu ada segelintir bayi, di mana masalah ini memberi kesan besar terhadap kesihatan bayi seperti masalah kurang berat badan, gangguan pernafasan, masalah peparu dan sebagainya (dan ianya dikenali sebagai GORD jika memberi kesan langsung terhadap kesihatan).

Kebiasaanya, gejala GORD yang biasa dikenalpasti termasuk jeluak/posseting susu, batuk selepas minum susu, berat badan tidak naik, jangkitan kuman peparu, kerap muntah selepas minum susu, tidak mahu/selesa ketika menyusu, badan bengkok ke belakang (arching of back), dan gejala lain yang tidak spesifik seperti sakit perut dan meragam.

Ramai ibu bapa yang amat bimbang tentang masalah ini, dan kesannya pada kesihatan bayi, justeru itu, kami mencadangkan agar bayi yang disyaki menghidapi masalah GORD ini dibawa berjumpa doktor / Pakar Pediatrik untuk pemeriksaan lanjut dan rawatan tertentu.

Ada beberapa masalah lain yang mungkin turut “mimik” masalah GORD, antaranya:-

1)     “Sucking swallowing incoordination” – Keadaan dimana pengaturan penghisapan susu dan pernafasan tidak seragam menyebabkan batuk dan tersedak susus.

2)     “Tracheo-Oesophageal Fistula” – Struktur tambahan yang menyambung saluran pernafasan dan pemakanan.

3)     Sumbatan, sempitan atau halangan pada struktur saluran pemakanan dan usus.

4)     Alahan susu

(Lantas, pemeriksaan doktor yang rapi dan ujian tertentu boleh memastikan masalah di atas dikenalpasti).

Doktor mungkin mencadangkan beberapa ujian untuk bukan sahaja mengenalpasti punca utama masalah seperti GORD, malah memastikan masalah-masalah diatas juga dikenalpasti sama. Antara ujian penyiasatan termasuk:

1)     “Upper GI Tract Contrast Series” (Barium)

2)     “pH study”

3)     “Multichannel Intraluminal Impedence” monitoring

(Untuk makluman umum, tidak semua pesakit diminta untuk menjalani penyiasatan ini, dan tidak semua hospital dilengkapi dengan ujian-ujian ini, dan perbincangan mengenai ujian-ujian ini tidak dalam lingkupan skop perbincangan kita, dan kami percaya perbincangan terus dengan Pakar Pediatrik adalah landasan utama sebelum sesuatu ujian dijalankan).

Mari kita sentuh sedikit tentang rawatan,

Rawatan tanpa ubatan:

1)     Tinggikan sedikit kepala bayi ketika penyusuan (upright position)

2)     Sendawakan bayi selepas penyusuan

3)     Jumlah penyusuan yang kecil tetapi lebih kerap (small amount but frequent feeds)

4)     “Pekat”kan sedikit susu (thickened milk) dengan bijirin (cereals)

5)     Elakkan minum susu dengan jumlah yang banyak / terlampau (avoid overfeeding)

6)     Elakkan bayi terdedah pada asap rokok.

(Kebiasaanya, bayi /pesakit menunjukkan respon yang baik dengan cadangan di atas, namun ada sesetengahnya masih perlu kepada rawatan lanjut).

Rawatan Ubat-ubatan termasuk:

1)     Anti-Reflux (AR) formula – formula susu bayi khusus untuk pesakit GORD

2)     Agen pengurangan asid perut – histamine-receptor antagonist & proton-pump inhibitor

3)     Agen prokinetik

Rawatan lanjut

1)     Pembedahan – Fundoplication

(Rawatan ubatan dan pembedahan adalah mengikut nasihat doktor, dan perlu kepada penilitian gejala pesakit, respon kepada rawatan tanpa ubatan, keterukkan (severity) penyakit dan banyak faktor lain, yang perlu kepada pemeriksaan dan penilaian teliti – di luar skop perbincanagan kita).

Secara kesimpulannya, majoriti bayi akan menunjukkan simtom “reflux” tanpa memberi kesan kepada kesihatan bayi (berat), namun ada segelintir tahap kesihatan (seperti berat badan & gangguan pernafasan) akan terjejas. Sila bawa anak berjumpa doktor / Pakar Pediatrik untuk pemeriksaan lanjut & rawatan tanpa ubatan boleh dimulakan tanpa membahayakan bayi. Doktor akan menilai secara klinikal untuk setiap kemungkinan, dan ada segelintir pesakit perlu kepada pemeriksaan lanjut, ujian susulan dan rawatan tambahan.

Sekian, terima kasih.

(answered by Dr Rashdan Zaki bin Mohamed )