Tags

, , , , , , , ,

vaccine

Q:  Adakah vaksin MMR selamat? Saya banyak mendengar dan membaca tentang MMR vaksin boleh menyebabkan masalah autism di kalangan kanak kanak. Anak saya akan menjangkau usia setahun tak lama lagi dan saya ragu ragu tentang ini. Mohon pencerahan doktor (Shahrul).

A: Shahrul, terima kasih kerana bertanya tentang kaitan MMR vaksin dan autism.

Saya memahami kerisauan dan dilema yang anda alami apatah lagi sejak akhir-akhir ini topik ini hangat dibincangkan di laman sosial. Namun begitu , kenyataan ini sememangnya tidak berasas langsung. Kontroversi MMR vaksin dan autism bermula pada tahun 1998 apabila hasil kajian Dr Andrew Wakefield, seorang pakar bedah British disiarkan dalam jurnal perubatan, The Lancet.

Kajian tersebut dikatakan telah menemui kaitan antara vaksin MMR dengan autism dan masalah usus. Tidak lama kemudian, The Lancet telah bertindak menarikbalik artikel yang disiarkan setelah mendapati bahawa Wakefield telah memutarbelitkan fakta dan kajian yang dilakukan melanggar etika. Malah 10 daripada 12 orang pengkaji yang pada mulanya terlibat dalam kajian tersebut juga telah bertindak menarik diri dan telah menegaskan bahawa mereka tidak mahu ada kena mengena dengan artikel tersebut.

Akibat dari kesalahan Wakefield, lesen perubatannya ditarikbalik dan beliau tidak lagi bergelar doktor. Ini kerana kesalahan memutarbelitkan fakta adalah satu kesalahan yang sangat serius. Dalam masa itu, ramai rakyat British telah bertindak untuk tidak membenarkan anak-anak mereka diberikan vaksin MMR. Akibatnya, masalah campak telah meningkat secara mendadak di United Kingdom dan ramai kanak-kanak yang mengalami komplikasi penyakit campak seperti jangkitan otak yang sejurusnya mengakibatkan kecacatan malah kematian.

Masalah campak telah meningkat secara mendadak di United Kingdom dan ramai kanak-kanak yang mengalami komplikasi penyakit campak seperti jangkitan otak yang sejurusnya mengakibatkan kecacatan malah kematian.

Sejak kontroversi Wakefield, banyak kajian dilakukan oleh ahli perubatan untuk melihat kaitan antara vaksin MMR dan autism . Hasil kajian-kajian ini mendapati vaksin MMR sememangnya selamat dan tidak langsung menyebabkan masalah autism seperti yang dikatakan oleh Wakefield. Sayangnya, masih ada lagi golongan-golongan tertentu yang mempercayainya dan bertindak menyebarkan kenyataan yang tidak berasas ini.

Saya merasakan orang ramai wajar tahu tentang kebenaran vaksin MMR dan penyakit Measles, Mumps dan Rubella ini kerana seandainya kita memahami komplikasi yang mungkin terjadi daripada penyakit-penyakit ini, mana mungkin kita membiarkan anak -anak terdedah pada risiko penyakit-penyakit tersebut. Selain itu , perlu juga diketahui bahawa setiap vaksin melalui proses yang sangat ketat dan mengambil masa bertahun-tahun sebelum diluluskan penggunaannya bagi  memastikan ianya selamat digunakan. Tahukah anda, sebelum vaksin MMR diperkenalkan, terdapat lebih 2 juta kematian setiap tahun kerana demam campak?

Apakah penyakit-penyakit yang dilindungi oleh vaksin MMR ?

Measles (Demam campak), Mumps (beguk) dan Rubella ( rubela) adalah 3 penyakit yang mudah berjangkit. Campak biasanya bermula dengan demam dan bintik-bintik merah di muka dan badan. Namun, masalahnya tidak berhenti di situ. Campak boleh menjangkiti organ-organ lain seperti paru dan otak yang seterusnya boleh menyebabkan kecacatan serius dan kematian. Beguk atau jangkitan pada kelenjar air liur pula dimanifestasi sebagai bengkak kelenjar dan demam , turut berisiko menjangkiti testes pada kanak-kanak lelaki dan organ pankreas. Rubela pula biasanya mengakibatkan masalah tompok tompok kecil pada badan yang biasanya sembuh dalam 1-2 minggu namun kesannya pada bayi yang dikandung oleh wanita yang tidak mendapatkan vaksin sangat merbahaya. Kongenital Rubela menyebabkan masalah otak, jantung, hilang pendengaran dan penglihatan , masalah darah dan radang hati.

Saya percaya ramai pakar Pediatrik yang mempunyai pengalaman melihat dan merawat kes-kes ini memandangkan ianya semakin meningkat. Antara kes yang saya masih ingat ialah seorang bayi lelaki yang ibunya adalah wanita 20-an warga asing. Bayi lelaki tersebut berusia 3 – 4 bulan ketika anak tersebut menemui ajal. Dia mengalami kongenital Rubela dan  mempunyai masalah lubang pada jantung , perut yang besar kerana bengkak hati, masalah hilang pendengaran dan penglihatan yang serius. Kepalanya kecil disebabkan otaknya yang terjejas akibat jangkitan tersebut. Ibunya tidak divaksin untuk Rubella semasa kecil.

Ini hanyalah salah satu contoh dari banyak kes yang berlaku akibat jangkitan MMR. Maka, bukankah ianya satu keputusan yang wajar untuk melindungi anak-anak daripada penyakit-penyakit tersebut memandangkan langkah pencegahannya ada. Bukankah pencegahan itu lebih baik dari mengubati?

Mungkin ada yang tertanya-tanya tentang kesan sampingan vaksin MMR. Biasanya, kesan sampingannya sangat kecil berbanding dengan komplikasi penyakit-penyakit Measles-Mumps-Rubella,  Ini termasuk demam atau rasa sakit pada tempat cucuk. Adakala bintik-bintik merah boleh berlaku namun ia akan hilang selepas 2-3 hari.

Ada segolongan kecil yang tidak dibenarkan  mengambil vaksin MMR. Ini termasuk kanak-kanak yang mempunyai sistem imun yang rendah seperti kanak-kanak yang menghidap masalah rendah antibodi, AIDS, mengambil ubat steroid untuk jangkamasa yang lama, telah mendapat rawatan untuk immunoglobulin atau kemoterapi untuk kanser. Kanak-kanak ini biasanya sudah berada dalam pemerhatian pakar Pediatrik. Mereka yang mempunya alahan terhadap telur boleh mengambil vaksin MMR kerana ianya selamat.

Beberapa tahun yang lalu, bayi yang mempunyai alahan kepada telur dikatakan mempunyai risiko terhadap pengambilan vaksin MMR, namun kajian-kajian berikutnya menunjukkan bahawa kes alahan teruk kepada MMR bukanlah disebabkan oleh telur tapi kepada komponen lain seperti gelatin (yang juga sangat jarang berlaku). Ramai bayi yang ada alahan kepada telur telah diberikan vaksin MMR tanpa komplikasi.

Diharapkan artikel ini dapat menjawab keraguan terhadap vaksin MMR.

( answered by Dr Zahilah Filzah )

Advertisements