Tags

, , , ,

ear

Q: Hi doc, anak saya berumur 2thn 7 bulan. Dari umur 6 bulan ke atas, boleh dikatakan setiap bulan telinga dia akan berair, kadang kadang bernanah warna hitam. Suami saya dan ibu mertua saya mengalami masalah yang sama. Adakah disebabkan baka? Sudah bermacam macam ubat dan pakar saya jumpa. Tapi smpai sekarang telinga dia kadang berair. Anak saya kata gatal, kadang kadang sakit. Bila doc tgk, semua doc kata ok. Gegendang pun tiada masalah. Anak saya selalu garu, di keliling dinding dlm telinga jadi kudis. Telinga kiri dan kanan. Apakah punca nya doc? Apa perlu saya lakukan? Anak saya yang kedua ni baru 6 bulan lebih, saya tengok telinga dia ada tanda tanda macam anak saya yang pertama. Saya agak risau. Perluke saya ambil vaksin pneumococcal? Tq (ruby)

A:  Salam Takzim! Terima kasih kerana bertanya!

Harus untuk saya berterus-terang, tanpa pemeriksaan dan penyiasatan  rapi, agak sukar untuk saya menentukan masalah anak puan, dan memberi khidmat nasihat pada perawatan anak ini.

Tetapi saya amat faham akan kebimbangan puan, lebih-lebih lagi anak ini telah dirawat oleh doktor tetapi masalah tersebut masih berkekalan. Dan, kami tidak akan ambil ringan setiap kebimbangan ibubapa/keluarga.

Izinkan saya untuk membincangkan perkara ini secara umum, dan saya harap jawapan ini akan memberikan lebih pemahaman pada puan dan mungkin akan membantu pada perawatan anak kecil ini.

Cairan dari telinga (ear discharge) ada banyak jenis. Ianya mungkin nanah, darah, cairan jernih atau sekadar tahi telinga. Jadi,perlu untuk kenalpasti jenis cairan tersebut. Kebiasaanya, nanah adalah disebabkan oleh jangkitan kuman dan memerlukan rawatan antibiotik.

Pemeriksaan lanjut pada struktur telinga akan membolehkan doktor mengenalpasti bukan sahaja jenis cairan malah punca utama cairan tersebut. Disamping itu, doktor juga boleh mengesan jika ada lubang atau “pit” pada permukaan luar telinga dan melalui alat “otoscope” memeriksa ruang dalam telinga termasuk gegendang telinga.

Disini saya saya akan membincangkan beberapa punca/sebab cairan telinga:

1)     Jangkitan kuman pada salur telinga luar (Otitis Externa) dan struktur telinga tengah (Otitis Media),sama ada berlaku secara akut atau kronik dan berulang. Organisma yang boleh meyebabkan jangkitan kuman ini termasuk kuman bakteria, virus dan fungus. Otitis Media boleh membawa kepada “kebocoran” gegendang telinga, jika tidak dirawat dengan sempurna.

2)     Tahi telinga berlebihan. Kadangkala menjadi “keras” dan mengakibatkan rasa sakit dan kurang pendegaran.

3)     “Kebocoran” gegendang telinga dari jangkitan kuman atau sebab-sebab lain seperti trauma.

4)     Eczema atau alahan kulit dan jangkitan kulit pada struktur cuping telinga/ telinga luar boleh turut mengakibatkan cairan telinga.

Berbalik kepada anak puan, jangkitan kuman kulit dan eczema berkemungkinan  punca utama cairan telinga ini (memandangkan beberapa doktor mengesahkan struktur telinga normal dan bebas dari jangkitan kuman). Agak sukar untuk mengesahkan jika cairan ini disebabkan oleh masalah keturunan, sebelum masalah utama punca cairan itu dikenalpasti. Sungguhpun begitu, eczema dan alahan kulit boleh berlaku dikalangan ahli keluarga, sama seperti asma.

Berhubungan dengan vaksin pneumococcal, adalah digalakkan adik diberi imunisasi ini dan diharap dapat mencegah jangkitan kuman pneumococcal (tetapi vaksin ini bukan rawatan utama untuk cairan telinga tersebut). Rawatan utama adalah bergantung pada punca masalah yang menyebabkan cairan telinga.

Saya nasihatkan supaya puan boleh membawa anak-anak ini kembali mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan dari doktor pakar telinga-hidung-tekak (ENT) dan pakar kanak-kanak untuk mengenalpasti punca cairan telinga, seterusnya rawatan yang optimum dapat diberikan.

Semoga penjelasan ini tidak menambah kebimbangan puan, sebaliknya membantu meningkatkan pemahaman puan agar sama-sama kita dapat memberi rawatan terbaik kepada anak-anak ini.

Terima kasih.

( answered by Dr Rashdan Zaki bin Mohamed )

Advertisements